Kisah Sepanjang Zaman

Monday, February 20, 2006

Syadad Laknatullah Menemui Ajal

Dikisahkan bahawa ‘Aad mempunyai dua orang putera, yang pertama bernama Syadid dan yang kedua bernama Syadad. Apabila Syadad laknatullah sudah dewasa, seluruh kerajaan berada dalam kekuasaannya. Lalu ia mengajak raja-raja bawahannya untuk bermesyuarat dan berkata kepada mereka: "Aku akan membangun syurga seperti yang difirmankan Allah dalam kitab-kitabNya. Mereka menjawab: Hal itu terserah kepada tuanku, kerajaan ini kepunyaan tuanku."

Kemudian ia memerintahkan agar dikumpulkan semua emas dan perak dari Timur hingga ke Barat. Setelah itu ia berkata: "Bangunkanlah untukku syurga dalam masa 300 tahun." Maka berkumpullah segala macam bentuk tukang bangunan. Maka dipilihlah 300 di antara mereka setiap seorang dari tukang tersebut memimpin sebanyak 1,000 anak buah.

Mereka mengelilingi bumi selama 10 tahun, akhirnya mereka menemukan suatu tempat yang paling baik. Ada pokok-pokok, sungai-sungai. Maka mereka pun mulai membangun syurga yang dirancangkan itu satu parsakh demi satu parsakh. Satu parsakh daripada emas dan satu parsakh daripada perak.

Setelah mereka anggap semuanya telah sempurna, lalu mereka alirkan sungai-sungai, mereka dirikan pokok-pokok yang batangnya terbuat daripada perak, cabang dan rantingnya terbuat daripada emas. Dan mereka bangun istana-istana dari batu delima, dengan dihiasi berbagai permata, seperti intan, berlian dan lain-lain. Kemudian mereka sirami dengan minyak yang paling wangi. Cuma yang membezakan syurga Shadad laknatullah ini dengan syurga sebenar adalah syurga ada jamban. Gadis yang menjadi bidadari hanya sekali dara serta boleh mengalami haid.

Untuk mewujudkan keinginan Syadad laknatullah tersebut, raja-raja dan para pembantu mereka telah mengambil emas dan perak daripada rakyat dengan cara paksaan. Sehingga tidak tertinggal sedikit pun emas dan perak daripada rakyatnya, melainkan yang masih ada pada leher seorang anak, yang beratnya kira-kira 1 dirham.

Ketika mereka ingin merampasnya, maka anak itu berkata: "Janganlah tuan ambil emasku ini." Akan tetapi mereka berusaha untuk mengambilnya, dan mereka berkata: "Kami diperintahkan oleh raja untuk mengambilnya." Lalu emas yang sedikit itu mereka paksa mengambilnya daripada leher anak kecil itu.

Maka anak tersebut mengangkat tangan, sambil berdoa: "Wahai Tuhanku, Engkau Maha mengetahui tentang apa yang telah dilakukan oleh orang yang zalim ini terhadap hamba-hamba-Mu yang lemah. Maka tolonglah kami, wahai Zat yang menolong kepada orang-orang yang meminta pertolongan." Semua malaikat mengaminkan doa anak tersebut.

Setelah selesai kerja membina syurga Shadad laknatullah itu, akhirnya mereka memberitahu Syadad laknatullah untuk datang merasmikannya. Syadad laknatullah pun bersiap-siap untuk ke sana. Keberangkatan mereka itu selama 10 tahun perjalanan. Akhirnya rombongan Syadad laknatullah telah sampai dekat syurga yang mereka buat. Lalu Allah SWT mengutus Jibrail membawa gambaran pintu syurga sebenar menggantikan pintu syurga buatan kerajaan Syadad. Bertambahlah bongkak serta sombongnya Shadad setelah melihat gambaran pintu syurga sebenar. Shadad laknatullah berkata: "Apa perlu aku beriman dengan Allah, sedangkan aku mampu membina syurga aku sendiri." Dengan rasa angkuh, Shadad laknatullah ingin merasmi dan memasuki syurganya.

Lalu Allah SWT pun memerintah malaikat Izrail supaya mencabut nyawa Shadad laknatullah sebelum dia melangkah kaki ke dalam syurga buatannya. Izrail memohon kepada Allah SWT agar diberi kesempatan pada Shadad laknatullah melangkah setapak ke dalam syurga buatannya, barulah ia mencabut nyawanya. Lalu Allah SWT berfirman: "Ingatkah engkau Izrail pada suatu masa dahulu. Ada sebuah kapal yang karam di satu lautan yang luas. Waktu itu berpautlah seorang ibu dan seorang bayi kecil pada kayu tiang kapal berkenaan. Aku memerintahkan engkau untuk mencabut nyawa kedua-duanya. Engkau bermohon agar kasihanilah bayi kecil itu dan dibiarkan ia hidup. Maka Aku memperkenankan doa kamu. Tahukah engkau bahawa bayi yang kecil itulah Shadad."

Belum pun sempat Shadad laknatullah melangkah masuk ke pintu syurga buatannya, tiba-tiba Jibrail memekik dengan suara yang sangat keras dari atas langit. Maka dalam masa yang singkat mereka semuanya mati, sebelum sempat memasuki syurga tersebut. Malaikat Izrail pula merentap nyawa Shadad dengan sangat keras, sehinggakan darah memancut pada setiap liang bulu roma Shadad laknatullah .

Firman Allah SWT: "Dan berapa banyak telah Kami binasakan umat-umat sebelum mereka. Adakah kamu melihat seorang pun daripada mereka atau kamu dengar suara mereka samar-samar?" (Maryam: 98)

Wallahu'alam.